Monday, July 16, 2007

Pandangan Tentang Penghinaan Melalui Karikatur Rasulullah SAW

Oleh : Abu Muhammad Azim

Beriman kepada Rasul merupakan kewajipan yang diwajibkan kepada umat Islam melaksanakan tuntutannya selaras dengan ikrarnya sebagai seorang Muslim. Malah tidak sempurna iman seseorang Muslim itu seandainya keluarga dan harta bendanya lebih dicintai daripada diri Rasulullah SAW. Maka, dalam isu lakaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW, sewajarnyalah umat Islam bangkit menyatakan kemarahan terhadap penghinaan ini. Ini jelas merupakan agenda jahat yang digerakkan oleh golongan kuffar di seluruh dunia. Hari ini dilihat semua Negara Islam dan Negara umat Islam bangun menentang penghinaan ini dengan cara berdemontrasi serta menghantar memorandum bantahan dan meminta pihak-pihak berkenaan memohon maaf kepada umat Islam. Rakyat Malaysia tidak ketinggalan menganjurkan demontrasi menyatakan kebencian dan yang lebihnya menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Ini jelas dilihat pada 10 Februari 2006, telah diadakan demontrasi aman yang dianjurkan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) dan disertai oleh parti-parti politik yang lain serta NGO-NGO. Perhimpunan yang dianjurkan di Malaysia berbentuk demontrasi aman ini tidak melibatkan pertumpahan darah.

Walaupun berdemontrasi merupakan pernyataan kebencian kita kepada golongan kuffar dan bukti kecintaan kita kepada Rasulullah SAW, namun isu ini tidak boleh dilihat berakhir di sini sahaja. Apa yang lebih penting, isu ini sepatutnya dinilai oleh umat Islam tentang sejauhmana umat Islam benar-benar cinta kepada Rasulullah SAW dan sanggup mati kerananya. Kecintaan sebenar mesti dizahirkan melalui amalan sunnah baginda SAW sepenuhnya dalam kehidupan umat Islam secara individu mahupun bernegara. Seperti yang dimaklumi, sunnah Rasulullah SAW terbahagi dua iaitu sunnah yang wajib dan sunnah yang sunat. Sunnah yang wajib seperti menegakkan Negara Islam yang membawa kepada Kilafiah Islamiyah wajib dilaksanakan kerana tidak ada pilihan untuk meninggalkannya. Dalam mengamalkan sunnah yang sunat pula, umat Islam diberi pilihan dalam melaksanakannya tetapi tidak boleh mempertikaikannya. Sunah ini terdiri daripada sunah berpakaian seperti berserban, berjanggut, bersugi dan sebagainya.

Soal menghina atau mengkritik Nabi SAW bukan perkara baru kepada musuh Islam. Sejak dari mula memperjuangkan dan menegakkan kalimah Allah baginda telah dihina dan dilakukan perbuatan kejam ke atasnya. Malah di zaman ini juga hatta di negara kita sendiri ada golongan yang mengaku umat Islam tetapi turut menghina baginda SAW bukan setakat fahaman tetapi juga perwatakan baginda. Jadi kalau orang yang mengaku Islam pernah dan terus menghina Nabi SAW, betapa lagi kaum kafir. Oleh yang demikian sewajarnya kita tidak mudah mempersoal Nabi SAW atas dasar pemikiran logik kita sebagaimana asas yang digunakan kaum kafir iaitu kebebasan bersuara dalam memberi pandangan. Sepatutnya umat Islam lebih marah kepada golongan yang kononnya Islam tetapi mencerca hingga ke tahap menuduh Nabi berzina dengan gundiknya dan Nabi berkahwin kerana nafsu seks. Malangnya, tiada suatu tindakan pun dikenakan, malah dijemput mempengerusikan sebuah rancangan berbentuk forum agama pula.

Di sebalik isu karikator menghina Nabi SAW ini, terselindung iktibar yang banyak untuk dihayati. Antaranya, umat Islam seluruh dunia bangkit bersama-sama tanpa mengira fahaman politik menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan memberi amaran kepada golongan kafir supaya tidak sewenang-wenangnya menghina Nabi SAW. Selain itu, ia juga menyentak lamunan umat Islam supaya bangkit dari lena dan tegakkanlah Sunnah Baginda SAW. Antara sunnah Baginda yang menjadi tuntutan lebih-lebih lagi dalam era umat Islam sering ditindas dan dipandang serong oleh dunia bukan Islam ialah dengan menegakkan kembali Kilafiah Islamiyah. Insyaallah, berdemontrasi hanyalah salah satu cara menunjukkan kebencian kepada golongan menghina Nabi dan yang lebih penting, umat Islam mesti sanggup mati untuk menegakkan sunnah Nabi kerana di sana menuntut cabaran yang lebih dasyat. Allahu A’lam.




Sekitar Ihtifal Tadika Islam 2006






Sifat Orang-orang Munafik

Kisah Fitnah Terhadap Saidatina Aisyah r.a. di dalam Surah An-Nur dan Pendapat Ahli Tafsir Tentangnya Serta Kaitannya Dengan Fenomena Fitnah di Zaman ini.

Oleh: Abu Muhammad Azim

1.0. Pengenalan
Fenomena fitnah merupakan sesuatu yang boleh menghancurkan bukan sahaja sebuah keluarga, bahkan sehingga boleh menghancurkan masyarakat dan meruntuhkan tamadun sesuatu bangsa. Di dalam sebuah Hadis, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda bahawa orang yang melakukan fitnah adalah seperti orang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Pelaku fitnah adalah tergolong dalam golongan munafik. Ini jelas digambarkan melalui kisah Saidatina Aisyah r.a. yang difitnah oleh golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salol. Secara kasarnya syariat telah menggariskan sifat-sifat asas orang-orang munafik ini iaitu “melahirkan suasana Islam dan menyembunyikan kekufuran.” Mereka ini muncul di peringkat Madinah iaitu ketika umat Islam telah membina kekuatan ekonomi, ketenteraan, undang-undang, pertanian dan lain-lain bidang kehidupan. Orang-orang munafik menyembunyikan kekafiran terhadap Allah SWT, Rasul-Nya dan kitabullah. Orang-orang munafik akan ditimpa seksaan sebagaimana firman Allah swt: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada darjat yang paling bawah sekali dalam neraka.” (Surah An-Nisa :145)
2.0. Kisah Fitnah Saidatina Aisyah r.a. di dalam Surah An-Nur dan Pendapat Ahli Tafsir

Maksud Firman Allah S.W.T.

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar”. (Surah An Nuur: 11)


Menurut Ringkasan Tafsir Ibnu Kathir Jilid 3, menyatakan bahawa ayat ini diturunkan demi membersihkan Saidatina Aisyah, Ummul Mukminun daripada fitnah tuduhan zina yang disebarkan oleh orang-orang munafik. Ketua golongan munafik, Abdullah bin Ubai telah menyebar luaskan fitnah terhadap Saidatina Aisyah r.a. sehingga sebahagian dari kaum muslimin membicarakannya secara melampaui batas. Berita ini terus dibualkan oleh penduduk Madinah selama lebih kurang sebulan, sehinggalah Allah S.W.T. menurunkan penjelasan melalui ayat Al-Quran.

Imam Ahmad meriwayatkan dari az-Zuhri, bahawa apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana. Setelah Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan. Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera.

Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Ketika aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang. Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata: Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis. Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani telah ditinggalkan oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam sehinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut.

Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannya إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ketika dia mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain ucapannya إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak di tangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik. Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul.

Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya aku rasakan ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan. Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang di bina berhampiran dengan rumah kami. Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar As-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata: Celaka Mistah! Aku berkata kepadanya: Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar. Dia menjawab: Wahai Saidatina Aisyah: Tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab: Tidak, apakah yang dia katakan? Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong. Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku menjawab: Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku.

Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku: Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku? Ibuku menjawab: Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya. Aku berkata: Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku? Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian. Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai. Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul. Saidatina Aisyah berkata: Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya. Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Saidatina Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah: Wahai kaum Muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku. Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun berkata: Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu.

Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang soleh tetapi kadang-kadang dia cepat marah kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin Muaz: Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya! Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah: Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku. Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis. Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya. Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s: فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ Yang bermaksud: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu.

Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi Demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t. Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda. Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat Al-Quran menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ Yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku. Saidatina Aisyah berkata: Lalu Sayidina Abu Bakar orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia memfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat وَلَا يَأْتَلِ أُولُوا الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى sehingga ayat أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ Yang bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga sehinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu. Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah. Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka!

3.0. Kaitan Dengan Fenomena Fitnah di Zaman ini

Fenomena fitnah di zaman ini juga berlaku disebabkan oleh berleluasanya golongan-golongan munafik di dalam masyarakat Islam. Mereka ini hidup dengan bertopengkan Islam, tetapi jauh di sudut hati amat membenci Islam. Mereka ini sentiasa mencari-cari dan menyebarkan fitnah supaya masyarakat Islam menjadi kucar-kacir dan berpecah-belah. Orang-orang munafik merupakan orang-orang yang sangat berbahaya. Allah SWT sendiri telah mengingatkan kita akan tipu helah mereka hampir setiap surah dalam Al-Quran. Jadi, apakah tanda-tanda munafik yang diberitahu Allah kepada kita? Sifat-sifat orang munafik menurut Al-Quran adalah seperti berikut:

3.1. Menuduh orang beriman bersifat bodoh
Allah SWT telah menjelaskan sifat munafik ini dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Apabila dikatakan orang kepada mereka, Berimanlah kamu sebagaimana manusia yang telah beriman, mereka berkata: Masakan kami beriman, sebagaimana orang-orang bodoh yang telah beriman. Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh tetapi mereka tidak tahu.” (Al-Baqarah: 13)

Setiap kali ada umat Islam yang ingin mengamalkan cara hidup Islam, mereka akan dituduh kolot atau ketinggalan zaman. Sekiranya ada di antara mereka ingin meninggalkan amalan riba dalam pembelian, mereka telah dituduh bodoh dan menjalani perniagaan tidak menguntungkan. Sekiranya mereka menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan, mereka giat dituduh sebagai penghalang kepada kemajuan dan sebagainya. Kerja-kerja yang tidak menyenangkan ini dilakukan oleh orang-orang munafik.
3.2. Menyuruh kepada Yang Mungkar dan Melarang Yang Makruf

Firman Allah SWT:

Maksudnya; “Orang munafik lelaki dan orang munafik perempuan sesetengah serupa dengan yang sesetengah. Mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang daripada membuat kebajikan, mereka menggenggam tangannya (bakhil). Mereka lupa akan Allah SWT, oleh yang demikian Allah melupakan mereka pula. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik.” (Surah At-Taubah: 67)
3.3. Keras Kepala dan Berbangga Dengan Dosa

Firman Allah SWT:

“Apabila dikatakan kepadanya: Takutlah kepada Allah. Kesombongan menjadikan dia berbuat dosa. Maka cukuplah api neraka untuk balasannya dan adalah api neraka itu seburuk-buruk tempat tinggal.” (Surah Al-Baqarah: 206)

Orang-orang munafik sangat sukar untuk diberi keinsafan. Mereka rela mati dalam mempertahankan kebatilan yang mereka sembunyikan itu. Sejarah pernah menceritakan bagaimana Abdulllah bin Ubai telah terperangkap beberapa kali dalam 'lubang' yang digalinya sendiri, tetapi masih terus-terusan tidak insaf. Seluruh umurnya digunakan untuk menentang Islam.
3.4. Membantu Orang Kafir dan Mengintip-intip Orang Beriman

Sifat munafik ini diceritakan Allah SWT dalam firman-Nya:

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih iaitu orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu?” “Iaitu orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (hai orang-orang mukmin). Maka jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, mereka berkata: “Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?” Dan jika orang-orang kafir mendapat keuntungan (kemenangan), mereka berkata; “Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu daripada orang-orang mukmin?” Maka Allah akan memberi keputusan di antara kamu di hari kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” (Surah An-Nisaa': 138 - 141)

Pendirian orang munafik umpama lalang. Arah mana angin bertiup, ke situlah ia condong. Sebenarnya orang-orang munafik cuba mendapatkan keuntungan daripada kedua-dua belah pihak, Islam ataupun kafir. Walaupun begitu, hati mereka lebih kasih kepada orang kafir dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan kekuasaan orang-orang kafir terhadap orang Islam.

3.5. Penipu, Riak dan Malas Melaksanakan Ajaran Islam

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Jika mereka berdiri mengerjakan solat, mereka berdiri dengan malas, serta riak (menunjuk- nunjuk) kepada manusia. Tiadalah mereka itu mengingati Allah kecuali sedikit. Mereka itu di dalam keraguan antara kafir dengan iman.” (Surah An-Nisaa': 142-143)

Orang munafik tidak akan merasa kemanisan bahkan seolah-olah rasa terpaksa setiap kali melakukan ibadah. Semuanya dilakukan demi mengelabui mata manusia. Sifat malas, cuai, suka bertangguh-tangguh dan bermudah-mudah akan dapat dilihat dengan jelas. Oleh kerana itu sudah menjadi tradisi bagi Khalifah Ur Rasyidin yang empat, mereka tidak akan menyerahkan apa-apa jawatan kepada orang yang cuai beribadah (terutamanya solat) kerana khuatir amanah rakyat jatuh ke tangan orang-orang munafik.

3.6. Memecah-belahkan Orang Beriman Dengan Projek-projek Yang Tidak Ikhlas
Rasulullah saw pernah menyuruh para sahabat meruntuhkan sebuah masjid yang didirikan oleh orang-orang munafik. Peranan masjid yang asalnya suci telah dijadikan tempat untuk memecah-belah perpaduan orang-orang beriman. Orang munafik merasakan tindakan mereka bertopengkan agama itu akan berjaya. Namun Rasulullah saw lebih tahu apa yang tersirat di hati mereka. Allah SWT telah memberitahu hal ini melalui firman-Nya:

“Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya telah bersumpah: “Kami tidak mengehendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya). (Surah At-Taubah : 107)

Begitulah sifat-sifat orang munafik. Mungkin ada manusia bersifat munafik ini sangat hampir dengan kita seperti mana hampirnya Abdullah bin Ubai dengan Rasulullah saw. Mereka sanggup mengorbankan tenaga dan harta seolah-olah untuk membangunkan Islam tetapi hakikatnya adalah untuk menghancurkan perjuangan Islam. Bak kata pepatah, “tangan kanannya membangunkan Islam, namun tangan kiri meruntuhkan.” Apakah tindakan kita selama ini seperti mana pepatah ini? Bagaimanakah kita dapat meng hadapi golongan munafik ini? Pertama, kita mestilah mempelajari Islam sedalam yang boleh dengan mengikuti kelas-kelas pengajian supaya kita tidak mudah tertipu. Kita tidak mahu disebabkan oleh kejahilan, kita sendiri yang mencemarkan Islam. Kedua, berhati-hatilah dengan siapa kita berkawan. Sekiranya kawan kita itu mengajak kepada yang mungkar dan meninggalkan yang makruf, nasihatilah dengan baik. Tanganilah segala permasalahan berpandukan syariat Islam. Sentiasalah bermuhasabah diri supaya setiap hari kita dijauhi daripada memiliki sifat-sifat munafik.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberi jalan keluar dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka datangnya.” (Surah At-Talak: 2 dan 3)

4.0. Penutup

Golongan munafik adalah suatu golongan yang menzahirkan keislaman, tetapi tidak beriman kepada Allah SWT. Golongan ini sentiasa mencari jalan dan helah agar orang-orang Islam sentiasa berpecah belah. Wahai kaum muslimin, berhati-hatilah dengan golongan ini. Rasulullah tidak menghukum golongan ini sewaktu hayatnya kerana dibimbangi akan mendatangkan fitnah kepada Islam itu sendiri. Semoga tafsiran ayat ini dapat menyedarkan kita tentang bahayanya sifat-sifat munafik dan seterusnya dapatlah dihindari daripada terjebak olehnya.


Bibliografi
Muhammad Nasib Ar-Rifa’i. 1999. Kemudahan Dari Allah: Ringkasan Tafsir Ibnu Kathir.
Penterjemah : Syihabudin, Jakarta: Gema Insani Press

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an

Rujukan Internet
Hindari Sifat Munafik; http://www.mymasjid.com.my/article/show.asp?id=1991