Wednesday, September 29, 2010

Mengejar Kelebihan Puasa Sunat Syawal

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Menurut Imam Al Ghazali, dalam mencapai darjat "mudah-mudahan kamu bertaqwa" yang disebut di hujung ayat kewajipan berpuasa, sekiranya tidak ditunaikan puasa enam di bulan Syawal ini, seolah-olah darjat taqwa itu tidak dapat dicapai dengan sempurna.

Ayuh, para sahabatku. Hari ini telah berlalu 20 hari di bulan Syawal 1431H. Tinggal 9 hari lagi peluang yang Allah berikan kepada kita untuk melunaskan tuntutan puasa sunat Syawal ini. Sekiranya telah dilaksanakan, Alhamdulillah. Bagi yang sedang dalam proses mencukupkan bilangan 6 hari, tahniah. Bagi yang belum bermula, masih belum terlambat. Jangan bertangguh lagi..ganjarannya amat lumayan.

Bersama kita berdoa moga-moga kita terus diberi kekuatan untuk melaksanakan perintah Allah dan Istiqamah dalam beramal, demi meraih Mardotillah. wallahua'lam.

Tuesday, September 28, 2010

Menyelesaikan Caraguna Wang Haram

Menurut Prof Dr Yusuf Al Qardawi, "sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik kepada maslahah a'mmah seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan antaranya membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah SWT, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan".

Dewasa ini, kedapatan umat Islam yang sering terjebak ke dalam pemilikan wang secara haram (riba) seperti faedah simpanan di dalam bank konvensional dan sebagainya. Jadi, dapat kita ambil pandangan Dr Yusuf Qardawi yang mana boleh digunakan untuk kemaslahatan ummah. Menurutnya lagi, sekiranya digunakan sendiri, ianya menjadi haram.

Bagaimana pula jika wang ini disalurkan kepada golongan fakir dan miskin??

Jika disandarkan kepada pandangan yang dibincangkan tadi, maka tidak menjadi kesalahan jika disalurkan. Bagaimana pula jika kita sukar untuk mengenalpasti golongan miskin? Masih boleh diselesaikan.. Kita ada Jabatan Agama Islam, Pertubuhan Islam yang berjuang mendaulatkan Islam dan institusi-institusi Islam. Apa lagi, serahkan sahaja kepada mereka. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang sama-sama berjuang mendaulatkan Agama Allah.

Pandangan saya: "Serahkan sahaja kepada pertubuhan Islam"

Wallahua'lam

Friday, September 17, 2010

Hari Raya Hari Gembira

Maksud Hadis Nabi SAW:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin”
(Riwayat al-Bukhari).

Tibanya syawal menandakan kemenangan bagi umat islam dalam perjuangan selama sebulan di Bulan Ramadhan. Satu perjuangan menepis dugaan dan melawan hawa nafsu. Justeru, semua umat Islam haruslah bergembira dalam meraikan kemenangan ini.

Umat Islam dituntut bergembira di hari raya kerana hari raya bukan hari untuk bersedih. Bagaimana pula dikaitkan kegembiraan di hari raya dengan hiburan??

Menurut Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.

Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Walau bagaimanapun, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini.

Buat semua, Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.