Alhamdulillah, anak kelima aku kini dah pun berusia 23 hari (Lahir pada 31 Oktober 2010).
Monday, November 22, 2010
Tuesday, November 16, 2010
Hari Keluarga TIP Slim Village
Seramai 35 orang yang terdiri daripada anak-anak Tadika Islam Perak Slim Village, ibubapa, jawatankuasa telah menyertai Hari Keluarga yang diadakan di Kampung Air Panas, Kerling.
Program ini julung- julung kalinya diadakan bagi mengeratkan Silaturrahim di kalangan AJK dan ibubapa warga TIP Slim Village. Program yang bermula jam 9.00 pagi 13 November 2010 itu telah berjalan seperti yang dirancang.
Kira-kira jam 1.00 tengah hari, kami bertolak balik, walaupun jika nak diikutkan, semua murid-murid belum berhasrat untuk meninggalkan sungai yang sangat teruja untuk mereka mandi-manda. Apa pun, sesuatu yang bermula, pasti berakhir. Insyaallah, ada rezeki kita bersantai lagi..
Monday, November 8, 2010
Hari Konvokesyen Azfar


31 Oktober 2010 - Tadika Islam Perak Slim Village telah mengadakan Majlis konvokesyennya bagi tahun 2010 sebagai menutup tirai aktiviti berasaskan akademik di sekolah ini.
Pagi-pagi lagi, dengan bersongkok dan berbaju hijau, Muhammad Azfar siap depan pintu untuk ke sekolah. Seawal jam 5.30 pagi, dah bangun mandi, tunggu azan dan Solat Subuh. Selalunya lambat sikit bila suruh solat. Mungkin hari ni, semangat lebih sikit..
Bila nama dipanggil untuk ambil hadiah, apa lagi, dia pun pandang muka aku, sehingga aku suruh jalan, baru dia bertindak. Seronok sungguh dapat hadiah, sampai semua orang tak boleh pegang, sebelum dibuka sendiri..
Tahun ni, Azfar masuk tahun kedua di sekolah ni. maknanya tahun depan umur dia dah 7 tahun. Diam tak diam, dah nak masuk darjah satu dah budak ni..
Tahniah ayah ucapkan kerana Azfar berjaya mendapat markah tertinggi dan dianugerahkan hadiah tempat pertama. Semoga terus cemerlang di dunia dan akhirat.
Muhammad Azfar : Teruskan Perjuangan...Ayah sentiasa mendoakan kejayaan..
Wednesday, October 13, 2010
Wednesday, September 29, 2010
Mengejar Kelebihan Puasa Sunat Syawal
Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.
Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.
Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.
Menurut Imam Al Ghazali, dalam mencapai darjat "mudah-mudahan kamu bertaqwa" yang disebut di hujung ayat kewajipan berpuasa, sekiranya tidak ditunaikan puasa enam di bulan Syawal ini, seolah-olah darjat taqwa itu tidak dapat dicapai dengan sempurna.
Ayuh, para sahabatku. Hari ini telah berlalu 20 hari di bulan Syawal 1431H. Tinggal 9 hari lagi peluang yang Allah berikan kepada kita untuk melunaskan tuntutan puasa sunat Syawal ini. Sekiranya telah dilaksanakan, Alhamdulillah. Bagi yang sedang dalam proses mencukupkan bilangan 6 hari, tahniah. Bagi yang belum bermula, masih belum terlambat. Jangan bertangguh lagi..ganjarannya amat lumayan.
Bersama kita berdoa moga-moga kita terus diberi kekuatan untuk melaksanakan perintah Allah dan Istiqamah dalam beramal, demi meraih Mardotillah. wallahua'lam.
Tuesday, September 28, 2010
Menyelesaikan Caraguna Wang Haram
Dewasa ini, kedapatan umat Islam yang sering terjebak ke dalam pemilikan wang secara haram (riba) seperti faedah simpanan di dalam bank konvensional dan sebagainya. Jadi, dapat kita ambil pandangan Dr Yusuf Qardawi yang mana boleh digunakan untuk kemaslahatan ummah. Menurutnya lagi, sekiranya digunakan sendiri, ianya menjadi haram.
Bagaimana pula jika wang ini disalurkan kepada golongan fakir dan miskin??
Jika disandarkan kepada pandangan yang dibincangkan tadi, maka tidak menjadi kesalahan jika disalurkan. Bagaimana pula jika kita sukar untuk mengenalpasti golongan miskin? Masih boleh diselesaikan.. Kita ada Jabatan Agama Islam, Pertubuhan Islam yang berjuang mendaulatkan Islam dan institusi-institusi Islam. Apa lagi, serahkan sahaja kepada mereka. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang sama-sama berjuang mendaulatkan Agama Allah.
Pandangan saya: "Serahkan sahaja kepada pertubuhan Islam"
Wallahua'lam
Friday, September 17, 2010
Hari Raya Hari Gembira
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).
Tibanya syawal menandakan kemenangan bagi umat islam dalam perjuangan selama sebulan di Bulan Ramadhan. Satu perjuangan menepis dugaan dan melawan hawa nafsu. Justeru, semua umat Islam haruslah bergembira dalam meraikan kemenangan ini.
Umat Islam dituntut bergembira di hari raya kerana hari raya bukan hari untuk bersedih. Bagaimana pula dikaitkan kegembiraan di hari raya dengan hiburan??
Menurut Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.
Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.
Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:
“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Walau bagaimanapun, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini.
Buat semua, Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.





