Saturday, January 22, 2011

Antara Cegah Kemungkaran dan Menyembunyikan Aib

Di dalam sebuah hadith shahih, hadith no:34 dari kitab hadith 40 oleh Al-Hafiz Imam Al-Nawawi, dari Abi Saed al-Khudri ra, berkata, aku telah mendengar bahawa Rasulullah saw bersabda :

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه و ذلك أضعف الإيمان
"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman". - [Di riwayatkan oleh Imam Muslim #49]

Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam memberi komentar tentang hadith shahih diatas mengatakan bahawa mencegah kemungkaran mempunyai 3 syarat :

1. Perkara yang disepakati haramnya.

Tidak boleh mencegah perkara-perkara makruh yang dilakukan. Juga dimaksudkan didalam kategori ini ialah orang-orang yang meninggalkan sunnah (seperti tidak berjanggut dsb) tidak dianggap melakukan mungkar.

2. Kemungkaran itu dilakukan secara terang-terang.

Ertinya kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan, dihadapan umum/public. Tidak boleh sengaja mengintai-intai atau memasang alat-alat pendengaran bagi menangkap mereka yang melakukan mungkar.

3. Kemampuan bertindak untuk mengubah kemungkaran.

Ertinya orang yang ingin mengubah kemungkaran harus memiliki kemampuan bertindak, baik secara individu ataupun bersama-sama dengan rakan yang lain; iaitu mengubah dengan menggunakan kekuatan/ kuasa.

Persoalannya di sini, mungkin ada di antara kita yang pernah menghadapi suatu keadaan di mana ia mengetahui sesuatu maksiat atau kemungkaran itu, tetapi pelakunya sedaya upaya menyembunyikan maksiat yang dilakukannya.

Dalam keadaan begini, manakah tindakan yang terbaik untuk kita lakukan??

Dr Yusuf al-Qaradawi telah menyebut dalam bukunya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam:

“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintip atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih: (bermaksud):“Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, secara mudahnya dapatlah kita fahami dalam usaha mencegah kemungkaran yang menjadi kewajipan kepada setiap orang Muslim, janganlah sampai mencari-cari jalan untuk mendedahkan kemungkaran dan keaiban orang lain. Ingatlah pesanan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusuhan dari kesusahan di hari qiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari qiamat." (HR. Muslim).

Wallahua'lam. Moga bermanfaat untuk diriku dan semua orang beriman. Amin..

Tuesday, December 28, 2010

Alhamdulillah Selamat Diijabkabulkan..

Tanggal 26 Disember 2010, Mohd Shahril (Adikku yg ke 5) telah selamat diijabkabulkan. Majlis berlangsung di Masjid Lama, Teluk Intan. Akad dijalankan oleh Naib Kadi sejurus selepas Solat Zuhur.



Thursday, December 16, 2010

Konsep Ketuanan Melayu Berdasarkan Sunnah!!??

Firman Allah SWT dalam Surah Al Hujurat, Ayat 13, bermaksud:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)"

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa Allah SWT tidak membezakan ciptaannya berdasarkan bangsa (seperti yang didakwa oleh bangsa Yahudi, bahawa mereka adalah bangsa yang termulia di dunia ini). Tujuan Allah jadikan berbangsa-bangsa menuntut hambanya berkenal-kenalan, saling berukhuwwah, bukan masing-masing membanggakan bangsa dan keturunannya.

Bagaimana pula dengan konsep "Ketuanan Melayu" ini? Berdasarkan Sunnah ke? Pernahkah Rasulullah SAW memuliakan bangsa Arab kerana bangsanya. Apatah lagi bangsa Melayu. Betulkah Melayu ini mulia kerana bangsanya?!

Menelusuri Sirah Perjuangan Rasulullah SAW, jelas tercatat dimuliakan bangsa Arab yang terkenal dengan bangsa Jahiliyyah, adalah melalui Islam. Islam membawa perubahan kepada sistem hidup masyarakat Arab dan diakui oleh Nabi SAW bahawa kurun yang terbaik adalah kurunku(Nabi SAW).

Melayu juga dimuliakan dengan agama Islam. Apabila Islam bertapak di Melaka, mengislamkan Sultannya, maka semua umat Melayu menerima Islam sebagai suatu cara hidup (ADDIN). Akibatnya, Tanah Melayu (Malaysia) waktu itu menjadi maju. Sehinggalah berlakunya penjajahan selama 500 tahun oleh golongan Kuffar Barat yang mengakibatkan Islam hanya tinggal sebagai adat dan ibadat semata-mata. Hilang pengangannya sebagai 'Suatu Cara Hidup'.

Penjajah juga mendodoikan Melayu sebagai tuan, yang akhirnya diperukkan di kampung-kampung, meneruskan kehidupan tradisi masyarakatnya. Slogan inilah yang bertanggungjawab memundurkan umat Melayu hingga kini.

Ayuh bangsaku, kita mengorak langkah membina kekuatan dan ukhuwah sebenar melalui Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Semua bangsa sama di sisi Allah, yang membezakan hanyalah Ketaqwaan kepada Allah SWT.

Wallahua'lam.

Dah Selamat...

Kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, Muhammad Azim telah selamat dikhatankan. Berderai juga la air mata tumpah ke bumi...

Sedang berehat sambil tengok Shin Chan

Friday, December 3, 2010

Jadual Harian Musim Cuti Sekolah

Masa cuti sekolah begini agak mencabar untuk menguruskan anak-anak. Silap haribulan, langsung lupa tentang persekolahan mereka. Walhal, mereka cuma bercuti, tidak pergi ke sekolah macam biasa, bukan berhenti belajar.

Kata bijak pandai, bercakap lebih mudah daripada melaksanakan. Tapi, jika melaksanakan sesuatu yang tidak diagendakan adalah seribu kali lebih sukar..

Dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai ayah, aku pun siapkanlah jadual aktiviti sebagai panduan untuk anak-anak agar mereka tak rasa merdeka sangat. Sekurang-kurangnya ada kawalan. Tapi kadang-kadang tu, tak ikut jugak bila masing-masing buat muka kesian nak tambah masa bermain..

Pagi
- 6.00 pagi - Solat Subuh, Baca Al Quran
- Sarapan
- Kemas Rumah/ bilik
- Siapkan Buku Latihan/ Aktiviti
- Bermain

Tengah hari
- Solat Zohor
- Baca majalah, buku cerita @ apa-apa yang berkaitan

Petang
- Solat Asar
- Bermain

Malam
- Solat Maghrib, Dengar Kuliah Maghrib di Masjid (jika ada)
- Solat Isyak
- Makan Malam
- Cuci pinggan dan lipat kain
- Menonton TV
- Tidur

Yang menariknya.. Jadual ini tak terpakai bila balik ke kampung.. ha ha..itulah anak-anakku.

Monday, November 22, 2010

Gambar Anakku Terbaru...



Alhamdulillah, anak kelima aku kini dah pun berusia 23 hari (Lahir pada 31 Oktober 2010).

Tuesday, November 16, 2010

Salam Eid Al-Adha 1431 H


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Hari Keluarga TIP Slim Village


Seramai 35 orang yang terdiri daripada anak-anak Tadika Islam Perak Slim Village, ibubapa, jawatankuasa telah menyertai Hari Keluarga yang diadakan di Kampung Air Panas, Kerling.

Program ini julung- julung kalinya diadakan bagi mengeratkan Silaturrahim di kalangan AJK dan ibubapa warga TIP Slim Village. Program yang bermula jam 9.00 pagi 13 November 2010 itu telah berjalan seperti yang dirancang.

Kira-kira jam 1.00 tengah hari, kami bertolak balik, walaupun jika nak diikutkan, semua murid-murid belum berhasrat untuk meninggalkan sungai yang sangat teruja untuk mereka mandi-manda. Apa pun, sesuatu yang bermula, pasti berakhir. Insyaallah, ada rezeki kita bersantai lagi..

Monday, November 8, 2010

Hari Konvokesyen Azfar



31 Oktober 2010 - Tadika Islam Perak Slim Village telah mengadakan Majlis konvokesyennya bagi tahun 2010 sebagai menutup tirai aktiviti berasaskan akademik di sekolah ini.

Pagi-pagi lagi, dengan bersongkok dan berbaju hijau, Muhammad Azfar siap depan pintu untuk ke sekolah. Seawal jam 5.30 pagi, dah bangun mandi, tunggu azan dan Solat Subuh. Selalunya lambat sikit bila suruh solat. Mungkin hari ni, semangat lebih sikit..

Bila nama dipanggil untuk ambil hadiah, apa lagi, dia pun pandang muka aku, sehingga aku suruh jalan, baru dia bertindak. Seronok sungguh dapat hadiah, sampai semua orang tak boleh pegang, sebelum dibuka sendiri..

Tahun ni, Azfar masuk tahun kedua di sekolah ni. maknanya tahun depan umur dia dah 7 tahun. Diam tak diam, dah nak masuk darjah satu dah budak ni..

Tahniah ayah ucapkan kerana Azfar berjaya mendapat markah tertinggi dan dianugerahkan hadiah tempat pertama. Semoga terus cemerlang di dunia dan akhirat.

Muhammad Azfar : Teruskan Perjuangan...Ayah sentiasa mendoakan kejayaan..

Wednesday, October 13, 2010

Jemputan Ke Hari Anugerah Cemerlang 2010