Monday, July 16, 2007

Pandangan Tentang Penghinaan Melalui Karikatur Rasulullah SAW

Oleh : Abu Muhammad Azim

Beriman kepada Rasul merupakan kewajipan yang diwajibkan kepada umat Islam melaksanakan tuntutannya selaras dengan ikrarnya sebagai seorang Muslim. Malah tidak sempurna iman seseorang Muslim itu seandainya keluarga dan harta bendanya lebih dicintai daripada diri Rasulullah SAW. Maka, dalam isu lakaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW, sewajarnyalah umat Islam bangkit menyatakan kemarahan terhadap penghinaan ini. Ini jelas merupakan agenda jahat yang digerakkan oleh golongan kuffar di seluruh dunia. Hari ini dilihat semua Negara Islam dan Negara umat Islam bangun menentang penghinaan ini dengan cara berdemontrasi serta menghantar memorandum bantahan dan meminta pihak-pihak berkenaan memohon maaf kepada umat Islam. Rakyat Malaysia tidak ketinggalan menganjurkan demontrasi menyatakan kebencian dan yang lebihnya menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Ini jelas dilihat pada 10 Februari 2006, telah diadakan demontrasi aman yang dianjurkan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) dan disertai oleh parti-parti politik yang lain serta NGO-NGO. Perhimpunan yang dianjurkan di Malaysia berbentuk demontrasi aman ini tidak melibatkan pertumpahan darah.

Walaupun berdemontrasi merupakan pernyataan kebencian kita kepada golongan kuffar dan bukti kecintaan kita kepada Rasulullah SAW, namun isu ini tidak boleh dilihat berakhir di sini sahaja. Apa yang lebih penting, isu ini sepatutnya dinilai oleh umat Islam tentang sejauhmana umat Islam benar-benar cinta kepada Rasulullah SAW dan sanggup mati kerananya. Kecintaan sebenar mesti dizahirkan melalui amalan sunnah baginda SAW sepenuhnya dalam kehidupan umat Islam secara individu mahupun bernegara. Seperti yang dimaklumi, sunnah Rasulullah SAW terbahagi dua iaitu sunnah yang wajib dan sunnah yang sunat. Sunnah yang wajib seperti menegakkan Negara Islam yang membawa kepada Kilafiah Islamiyah wajib dilaksanakan kerana tidak ada pilihan untuk meninggalkannya. Dalam mengamalkan sunnah yang sunat pula, umat Islam diberi pilihan dalam melaksanakannya tetapi tidak boleh mempertikaikannya. Sunah ini terdiri daripada sunah berpakaian seperti berserban, berjanggut, bersugi dan sebagainya.

Soal menghina atau mengkritik Nabi SAW bukan perkara baru kepada musuh Islam. Sejak dari mula memperjuangkan dan menegakkan kalimah Allah baginda telah dihina dan dilakukan perbuatan kejam ke atasnya. Malah di zaman ini juga hatta di negara kita sendiri ada golongan yang mengaku umat Islam tetapi turut menghina baginda SAW bukan setakat fahaman tetapi juga perwatakan baginda. Jadi kalau orang yang mengaku Islam pernah dan terus menghina Nabi SAW, betapa lagi kaum kafir. Oleh yang demikian sewajarnya kita tidak mudah mempersoal Nabi SAW atas dasar pemikiran logik kita sebagaimana asas yang digunakan kaum kafir iaitu kebebasan bersuara dalam memberi pandangan. Sepatutnya umat Islam lebih marah kepada golongan yang kononnya Islam tetapi mencerca hingga ke tahap menuduh Nabi berzina dengan gundiknya dan Nabi berkahwin kerana nafsu seks. Malangnya, tiada suatu tindakan pun dikenakan, malah dijemput mempengerusikan sebuah rancangan berbentuk forum agama pula.

Di sebalik isu karikator menghina Nabi SAW ini, terselindung iktibar yang banyak untuk dihayati. Antaranya, umat Islam seluruh dunia bangkit bersama-sama tanpa mengira fahaman politik menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan memberi amaran kepada golongan kafir supaya tidak sewenang-wenangnya menghina Nabi SAW. Selain itu, ia juga menyentak lamunan umat Islam supaya bangkit dari lena dan tegakkanlah Sunnah Baginda SAW. Antara sunnah Baginda yang menjadi tuntutan lebih-lebih lagi dalam era umat Islam sering ditindas dan dipandang serong oleh dunia bukan Islam ialah dengan menegakkan kembali Kilafiah Islamiyah. Insyaallah, berdemontrasi hanyalah salah satu cara menunjukkan kebencian kepada golongan menghina Nabi dan yang lebih penting, umat Islam mesti sanggup mati untuk menegakkan sunnah Nabi kerana di sana menuntut cabaran yang lebih dasyat. Allahu A’lam.




0 comments: