Sunday, February 17, 2008

HARTA SEPENCARIAN: KONSEP SERTA APLIKASI DI KALANGAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA

1.0. PENDAHULUAN
Peruntukan harta sepencarian dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripada Undang-Undang Islam di Malaysia.
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat ditentukan oleh Hukum Syara'. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidang kuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Di Malaysia, tuntutan Harta Sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah[1].
Menurut tafsiran Ensiklopedia Islam terbitan Pusat Penyelidikan Ensiklopedia Malaysia, harta sepencarian ialah harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan seorang suami dengan isterinya, hasil daripada sumber atau daripada usaha mereka bersama. Sesuatu harta yang dimiliki oleh mana-mana pihak daripada suami isteri sebelum mereka berkahwin (harta bawaan), tetapi kemudiannya kedua-dua pasangan suami isteri itu mengerjakan harta itu seperti sama-sama bercucuk tanam di atas tanah suami atau isteri, maka harta itu tidak dikira sebagai harta sepencarian tetapi mana-mana pihak boleh menuntut upah. Sekiranya isteri memiliki harta sebelum daripada perkahwinan iaitu melalui warisan umpamanya, kemudian dia berkahwin dan si suami tidak mempunyai apa-apa pendapatan tetapi hanya mengusahakan tanah itu bersama-sama isterinya lalu dengan hasilnya mereka dapat membeli beberapa bidang tanah atau harta lain maka harta yang baru dibeli itu adalah harta sepencarian.

Dengan demikian tanah waris kepunyaan isteri itu tidak termasuk sebagai harta sepencarian suami isteri kerana tanah tersebut adalah milik t├ómm (penuh) isteri yang dipusakainya dan bukan hasil usaha bersama suami. Apabila isteri meninggal dunia, setelah harta peninggalannya itu digunakan bagi tujuan pengurusan jenazahnya, membayar hutang dan menunaikan wasiatnya, maka barulah lebihan harta yang dimiliki isteri berkenaan menjadi pusaka kepada waris-waris yang berhak menerimanya, termasuklah harta yang diwarisi oleh isteri. Suami dan anak-anak adalah waris-waris yang berhak menerima pusaka yang ditinggalkan oleh isteri berkenaan, kecuali ada halangan-halangan syara‘ mengenainya seperti suami yang telah menceraikan isteri sebelum isteri itu meninggal dunia dan tempoh ‘iddahnya telah habis, atau suami yang membunuh isterinya.

Definisi lain tentang harta sepencarian ini dibuat oleh Prof. Madya Dr. Suwaid Tapah[2] bahawa harta sepencarian itu berasal dari istilah usaha “sama-sama sepencari” digunakan bagi pasangan suami isteri yang sama-sama bekerja/ membersihkan ladang dan bercucuk tanam. Menurutnya lagi konsep sama-sama sepencari merupakan suatu kelaziman masyarakat Melayu dan pribumi di Nusantara. Sebab itu amalan pembahagiannya bukanlah menjadi suatu yang asing bagi masyarakat yang mendiami rantau ini.

2.0. KONSEP HARTA SEPENCARIAN

Dalam Al-Quran ada menyebut:
“Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan”. (Surah An-Nisaa’ : 32)

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan. Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:

“Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak’.

Harta Sepencarian juga ialah harta yang dapat dikumpulkan dalam jangkamasa perkahwinan iaitu bermula daripada hari ijab kabul hinggalah kepada masa perceraian. Harta sepencarian dianggap sebagai sesuatu harta yang diperolehi secara bersama atau pun secara individu, yang mana pembahagiannya kelak akan dikira mengikut takat sumbangan suami isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia mempunyai kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian. Seksyen 58 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984[3] ada memperuntukkan bahawa:

1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang:
a. takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset-aset itu.
b. apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat mereka bersama.
c. Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada.Tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:
a. takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebaikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga.
b. keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada.
c. Tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah telah membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, bagaimana pun pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima satu kadar yang lebih besar.

5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi atau dengan usaha bersama mereka.


3.0. APLIKASI UNDANG-UNDANG HARTA SEPENCARIAN DI MALAYSIA

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.)[4] harta sepencarian ditakrifkan:

“Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada kedua-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam bidanag yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak”.

Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta semasa berkahwin kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah bagaimana prinsip harta itu dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwn Zainuddin bin Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:

”Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya; Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut. Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti di atas. ”

Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi kes ’Mansur lwn Kamariah’ (1988, Jld. VI, 2 J.J.) tentang harta sepencarian menyatakan:

“Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta sepencarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan budi bicaranya”. Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya”.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian? Dalam kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta sepencarian[5]. Fakta kesnya adalah seperti berikut:

Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya separuh dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual ikan). Apabila ia (isteri) berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoran dan bertugas sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami. Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan:

“Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai usahanya bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang mana telah menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian”.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta sepencarian:
“Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami”.
Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya.

Merujuk kepada temuramah Mingguan Malaysia pada 29 Oktober 2005 bersama Prof. Madya Noor Aziah Mohd Awal, seorang pensyarah Undang-undang Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia[6], menyatakan dengan panjang lebar tentang harta sepencarian ini. Menurutnya, harta sepencarian ialah semua harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Ini termasuk harta boleh alih dan tidak boleh alih, termasuk perkakas rumah atau rumah itu sendiri.

Beliau juga ditanya tentang status harta yang dibawa oleh suami sebelum berlaku perkahwinan. Menurut Prof. Madya Noor Aziah Mohd Awal, kalau harta itu berkembang dalam perkahwinan dan isteri menyumbang kepada pengembangannya, ia menjadi harta sepencarian. Tetapi harta isteri yang dibawa masuk ke dalam perkahwinan tetap menjadi milik isteri. Kita harus berbalik kepada hukum asalnya bahawa isteri tidak menanggung nafkah keluarga. Selama hari ini sekiranya isteri tidak bekerja mahkamah biasanya memberikan harta sepencarian itu sebanyak satu pertiga. Mahkamah akan melihat sumbangan isteri kepada rumah tangga. Kalau dia menjaga anak saja, sumbangannya sudah ada. Kalau isteri itu bekerja dan pada masa yang sama menyumbang kepada kebajikan rumah tangga tentulah lebih banyak yang dia akan dapat.

Mengenai suami yang juga boleh menuntut harta sepencarian ke atas isteri bagi harta yang dimiliki isteri semasa perkongsian hidup sebagai suami isteri, beliau menegaskan bahawa Kalau melihat kepada peruntukan seragam ini, suami boleh menuntutnya sebagai harta sepencarian. Dalam peruntukan itu, ia tidak disebut sebagai harta suami atau harta isteri. Ia menggunakan perkataan ``apa-apa harta yang diperoleh oleh pihak-pihak itu semasa berkahwin''. Isunya sekarang boleh atau tidak suami menuntut harta isteri. Beliau menambah lagi dengan memberikan jawapan ’boleh’. Hal ini harus dilihat mengikut kes dan keadaan. Ada sesetengah kes suami memindahkan hartanya kepada isteri untuk dipegang sementara atau dipegang untuk keperluan keluarga. Jadi tidak bolehlah kita mengatakan harta itu menjadi hak milik isteri sepenuhnya. Sekiranya isteri yang membayar sepenuhnya sudah tentu ia tidak akan memberikan sebahagian harta itu kepada suami walaupun isteri itu bekerja dengan kebenaran suami. Kalau rumah itu dibeli atas nama isteri tetapi suami yang membayar ansuran bulanannya sudah tentulah harta itu menjadi harta sepencarian


4.0. ISU-ISU BERKAITAN HARTA SEPENCARIAN

Isu harta sepencarian ini wujud dalam undang-undang keluarga Islam yang diwartakan menjadi akta pada tahun 1984. Walau bagaimanapun, ianya telah mengalami banyak kali pindaan sehinggalah kepada pindaan yang terbaru dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr. Abdullah bin Md Zin. Dalam membicarakan isu ini, kita tidak boleh lari daripada membicarakan tentang undang-undang keluarga itu sendiri.

4.1. Pindaan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984

Menurut laporan sebuah laman web iaitu Malaysian Today[7], Sebanyak 26 seksyen telah dicadangkan untuk dipinda dalam rang undang-undang akta ini. Secara umumnya, kebanyakan pindaan yang dicadangkan adalah berbentuk teknikal dan boleh dipersetujui. Namun begitu, terdapat beberapa seksyen yang perlu dipertimbangkan dan dibahaskan semasak-masaknya sebelum diluluskan sama ada di peringkat Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Semua ahli Parlimen dan Senator meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak diberi masa yang cukup untuk membahaskan pindaan yang dicadangkan itu.

Cadangan pindaan-pindaan yang perlu dikaji dan disemak kembali

Pindaan seksyen 23(3) yang dibuat ialah menukarkan perkataan ‘dan’ kepada ‘atau’ dalam permohonan berpoligami. Seksyen asal bagi 23(3) : ‘Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan surat akuan menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu.’....... Antara syarat berpoligami untuk suami ialah dia perlu membuktikan perkahwinan dengan wanita lain adalah patut ‘dan’ perlu. Patut dalam erti kata patut baginya untuk berkahwin seorang lagi dengan kemampuan fizikal, mental dan rohani suami untuk memberi keadilan kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada dan wanita yang ingin dikahwininya itu. Perlu dalam erti kata, perkahwinan yang diingininya itu mesti dilangsungkan juga. Jika tidak, akan berlaku perkara-perkara negatif atau buruk. Jika pindaan ini diterima, maka suami hanya perlu memenuhi salah satu syarat untuk berpoligami : patut atau perlu, dan tidak perlu memenuhi kedua-duanya sekali. Ini akan menjejaskan hak isteri kerana, jika suami ingin berpoligami tetapi tidak mampu berlaku adil dan dia memenuhi kondisi ‘perlu’.

Pindaan seksyen 23 dengan memasukkan subseksyen (9). Seksyen ini melibatkan isu pemilihan oleh isteri antara nafkah atau harta sepencarian. Seksyen 23(9)(b) melibatkan isu pembahagian harta sepencarian antara suami dengan isteri yang sedia ada apabila suami ingin berpoligami. Peruntukan ini menyatakan : S.23(9) Tiap-tiap mahkamah yang memberikan kebenaran atau memerintahkan supaya suatu perkahwinan didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan itu:
a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada; atau
b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh mana-mana pihak itu dalam masa perkahwinan itu melalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan

Suami, melainkan dalam keadaan uzur syar’ie, bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Hak terhadap nafkah dan harta sepencarian adalah hak isteri yang diperakui oleh undang-undang dan isteri tidak sepatutnya hanya dibenarkan memilih salah satu. Ketika masih wujud ikatan perkahwinan, isu tuntutan nafkah oleh isteri tidak sepatutnya timbul kerana perkara itu adalah tanggungjawab suami. Jika dia enggan memberi nafkah, isteri boleh menuntut haknya di bawah seksyen 59(1) dan menuntut tunggakan nafkah di bawah seksyen 69.

Harta sepencarian, mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, ditakrifkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut hukum syarak. Berdasarkan kes Roberts lwn Umi Kalthom [1966], Raja Azlan Shah telah memutuskan bahawa harta sepencarian adalah perkara adat Melayu dan dipakai hanya dalam kes di mana suami atau isteri yang dicerai menuntut dari isteri atau suaminya dalam masa hidupnya[8]. Oleh itu, dapat difahami bahawa isu harta sepencarian hanya timbul apabila suami isteri bercerai dan sama sekali tidak timbul apabila suami ingin berpoligami. Pindaan yang dicadangkan menggambarkan harta sepencarian boleh dituntut walaupun masih wujud ikatan perkahwinan. Pihak yang mencadangkan pindaan sepatutnya lebih berhati-hati menggunakan istilah ‘harta sepencarian’ dan tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan dalam perkara yang sudah jelas. Pindaan ini perlu ditolak kerana tidak relevan dan bertentangan dengan hukum syarak.

4.2. Pembahagian Harta Sepencarian Sebelum Perkahwinan Poligami.
Subseksyen 23(10)(b) RUU memperuntukkan bahawa “mana-mana pihak kepada perkahwinan itu” boleh membuat permohonan kepada mahkamah supaya apa-apa aset (harta) yang diperoleh dalam masa perkahwinan dibahagi di antara mereka sebelum mahkamah memberi kebenaran perkahwinan poligami atau sebelum perkahwinan itu didaftarkan. Pihak NGO Sister In Islam[9] mengatakan peruntukan ini membolehkan suami meminta kepada mahkamah supaya aset yang sudah didaftarkan atas nama isteri sedia ada, dalam masa perkahwinan mereka, juga dibahagikan sebahagiannya kepadanya (suami) atau supaya ‘rumah perkahwinan’ mereka dijual atas dasar suami dibenarkan menuntut haknya atas harta sepencarian[10].
4.3. Perceraian Fasakh

Bantahan juga dibuat oleh Pertubuhan Sister In Islam terhadap peruntukan 53 RUU yang memperluaskan hak untuk fasakh kepada suami[11]. Dalam undang-undang terdahulu, hak itu hanya diberi kepada isteri. Walau bagaimanapun, dakwaan ini disangkal oleh banyak pihak kerana suami juga mempunyai hak fasakh apabila alasannya ialah penyakit berjangkit atau penyakit yang menghalang persetubuhan.

Persoalan bahawa adalah tidak adil pihak suami diberi hak fasakh kerana pihak suami dibenarkan mentalakkan isterinya adalah tidak berbangkit kerana kesan perceraian atau pembubaran perkahwinan melalui fasakh dan talak adalah berlainan[12]. Tujuan memperuntukkan hak fasakh kepada suami bukanlah bermaksud untuk memberi faedah kepada suami dan mengenepikan hak isteri seperti yang didakwa, tetapi bagi mengkanunkan hukum syarak.

4.4. Kuasa Mahkamah Membatalkan Dan Menahan Perpindahan Harta.
Seksyen 106 RUU memperuntukkan bahawa dalam keadaan tertentu, mahkamah boleh memberi injunksi tegahan perpindahan harta oleh suami atau isteri. Perintah ini untuk menghalang mana-mana pihak, iaitu, sama ada suami atau isteri, memindahkan apa-apa harta alih atau tak alih, termasuk wang dengan tujuan mengecewakan apa-apa perintah mahkamah yang dibuat terhadap harta itu. Peruntukan ini tidak dengan apa cara juga pun menindas kaum wanita dan semata-mata memberi kesan kepada apa-apa perintah yang dibuat oleh mahkamah, termasuk pembahagian harta sepencarian


4.5. Tuntutan Harta Sepencarian Terkumpul (Wang KWSP)

Wang KWSP adalah merupakan wang yang terkumpul hasil potongan bulanan daripada pendapatan pekerja sama ada pekerja itu adalah suami, isteri atau kedua-duanya sekali.
Dengan demikian jika, wang yang terkumpul ini adalah hasil tabungan pendapatan yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, dengan mengambil kira bahawa harta sepencarian ialah harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan, maka wang KWSP bolehlah dikategorikan sebagai harta sepencarian dan boleh dituntut walaupun wang yang terkumpul itu atas nama satu pihak atau atas pendapatan satu pihak[13]. Ini kerana dengan sumbangan moral serta pengorbanan supaya wang tersebut dapat disimpan, maka pihak yang satu lagi berhak atas wang KWSP tersebut.

Perlu diingatkan jika wang itu hanya layak dikeluarkan selepas 15 tahun bercerai, maka tuntutan hanya boleh dibuat setakat wang yang terkumpul bermula daripada awal perkahwinan sehinggalah pada tarikh perceraian. Wang yang wujud sebelum perkahwinan dan juga selepas daripada perceraian adalah tidak layak untuk dituntut sebagai harta sepencarian.


5.0. PENUTUP

Setelah dibincangkan panjang lebar tentang harta sepencarian ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa peruntukan harta sepencarian ini jelas termaktub dalam Undang-undang Keluarga Islam yang telahpun diguna pakai oleh negeri-negeri di Malaysia. Walaupun undang-undang syariah setiap negeri berbeza, namun dalam konteks harta sepencarian, ianya dilihat tidak banyak perbezaan dari segi perlaksanaannya. Undang-undang ini walaupun hanya digunakan oleh negeri-negeri kepulauan Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, tetapi ianya dibincangkan oleh para ulama’ dan dipersetujui pemfatwaannya mendatangkan manfaat serta tidak bercanggah dengan hukum syara’.

Pengaplikasiannya di Malaysia sekarang adalah baik serta diterima oleh semua umat Islam sebagai Undang-undang Syariah. Walau bagaimanapun, dalam usaha kerajaan untuk menyamakan Undang-undang Syariah di antara negeri-negeri, terutamanya undang-undang keluarga, sehingga pada Disember 2005, telah dibentangkan pindaan bagi kali ke empat sejak diguna pakai bermula pada tahun 1984, telah menimbulkan pelbagai kontroversi. Hal ini berpunca daripada tindakan pihak-pihak NGO yang melenting dan melaungkan slogan penindasan terhadap wanita. Akhirnya, undang-undang yang dibentangkan oleh Dato Dr Abdullah Mat Zain selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang telah diluluskan parlimen, terpaksa ditangguhkan. Sehinggalah pada Februari 2006, dikeluarkan kenyataan rasmi oleh Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dato Shahrizat Abdul Jalil[14] bahawa undang-undang yang diluluskan itu merupakan yang terbaik dan menepati syara’. Sehingga kertas kerja ini ditulis, isu ini belum dibawa ke Parlimen Malaysia untuk dibentangkan mengenai beberapa pindaan yang berkaitan dengan teknikal atau ayat yang diguna dalam menggubal undang-undang ini. Menurut kenyataan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 9 Mac 2006 menyatakan bahawa undang-undang ini akan dibawa ke sesi perbahasan Parlimen Malaysia yang akan bersidang bermula 13 Mac 2006[15]. Apa yang lebih penting, undang-undang ini setelah diluluskan akan diguna pakai di seluruh negeri-negeri di Malaysia.
[1] Maklumat diperolehi daripada http://www.abim.org.my/web/modules/news/article.php?storyid=646
[2] Kertas Kerja dibentangkan di UPSI pada 9 Februari 2006 bertajuk ‘Harta Sepencarian dan Prosedur Tuntutan di Mahkamah Syariah.
[3] _____________.(1995). Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1984
[4] Kertas Seminar “ Mahkamah Syariah & Isu-Isu Semasa” Siri 2 Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam www.pgsm.com.my
[5] maklumat lengkap, rujuk laman web Persatuan Peguam Syarie di alamat www.pgsm.com.my
[6] Maklumat diperolehi daripada http://www.islamhadhari.net/v2/artikel/artikel_detail.php?nkid=39

[7] Maklumat lanjut di laman web http://www.malaysia-today.net
[8] Rujukan laman web Persatuan Peguam Syarie Malaysia di alamat www.pgsm.com.my
[9] Rujuk Sister In Islam di alamat www.sisterinislam.org.my
[10] Perbincangan lanjut boleh dirujuk di laman web http://perkawinan.blogspot.com/2005/09/syarat-poligami-lebih-ketat.html
[11] Perbincangan di laman web www.sisterinislam.org.my
[12] Perbincangan di laman web www.abim.org.my
[13] Perbincangan daripada laman web www.sisterinislam.org.my
[14] Mingguan Malaysia, 12 Februari 2006, muka surat 7 bertajuk ‘Saya Sedia Tidak Popular’
[15] Utusan Malaysia 9 Mac 2006, muka surat 2 bertajuk ‘Pindaaan Rang Undang-undang keluarga Islam dibentang 13 Mac’

0 comments: