Tuesday, April 20, 2010

Multaqa Guru Pendidikan Islam & Presiden PERKIM

Multaqa yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan antara Guru-guru Pendidikan Islam dan Presiden Perkim telah berlangsung pada jam 9.30 pagi tadi. Seramai kira-kira 500 orang telah dijemput ke majlis tersebut.

Majlis ini bermula dengan ucapan mantan penasihat PM, Datuk Hamid Osman, kemudian diikuti ucap utama oleh Presiden PERKIM, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan Tun Mahathir, beliau banyak menyentuh tentang perlunya mengamalkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam Islam untuk menjamin kejayaan seseorang individu Islam. Beliau mengakui banyak ilmu dalam Al-Quran yang mesti kita amalkan, walaupun beliau hanya membaca terjemahan dalam bahasa Melayu dan Inggeris sahaja.

Tun Mahathir telah memberikan ucapannya selama 2 jam dan diikuti dengan sesi dialog.

Secara peribadinya, aku amat setuju dengan majlis Multaqa ini, tetapi banyak yang perlu diberi perhatian oleh pihak PERKIM bila berhasrat untuk menganjurkan lagi program begini.

Antaranya:

1. Pastikan ada kertas ilmiah yang dibentangkan, bukan cakap yang berunsur retorik dan lebih kepada pandangan jumud serta beku, dan idea-idea lapok yang prejudis.

2. Biarlah pembentang tergolong daripada golongan ilmuan yang mahir dan diiktiraf keilmuannya untuk menyampaikan hujah dan pandangan.

3. Tajuk pembentangan perlulah menjurus ke arah jalan penyelesaian masalah ummah, bukan meleret ke arah yang tak berhaluan.

4. Jangan cuba mencemari prinsip-prinsip dalam mempelajari Ilmu Islam dengan hujah akal yang dangkal serta tidak menepati prinsip sesuatu ilmu itu sendiri.

Akhirnya, saya menyarankan agar majlis seperti ini diteruskan lagi demi memantapkan ukhuwah sesama Islam, dan yang lebih penting, biarlah ia berlangsung dalam keadaan yang penuh ilmiah.

Mudah-mudahan apa yang dicatatkan ini menjadi peringatan buat diri aku yang mendatangkan kebaikan kepada orang-orang yang Beriman..Wallahua'lam.

0 comments: