Saturday, June 19, 2010

Kem Ibadah Al Islah

,
Alhamdulillah, setelah beberapa mesyuarat dan persiapan bersungguh-sungguh diadakan, maka pada tanggal 7 dan 8 jun yang lalu, suatu kem ibadah telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kem ibadah ini dinamakan Kem Ibadah Al Islah mengambil nama sempena Surau Diri Jumaat Al Islah, Felda Residen, Trolak.

Kem ini telah disertai oleh kira-kira 30 orang terdiri daripada anak-anak kakitangan Felda Residen, Trolak. Mulanya, aku agak keberatan juga untuk melangsungkan kem ini memandangkan masa perbincangan antara aku dan Sdr Nasri agak singkat. Maklumlah, bila nak jalankan sesuatu program, mesti ada kertas cadangan, kelulusan dalam mesyuarat dan banyak persiapan yang perlu dilaksanakan sebelum jadinya sesuatu perancangan. Alhamdulillah, perjalanan persiapan berjalan lancar, dan mendapat sokongan penuh daripada sahabat-sahabat..Ust Nik Asri, Ust Norzarir, Sdr Firdaus, Sdr Fazrin (Amal) serta ramai lagi sahabat yang tak dapat disebutkan disini. Dan yang pentingnya, Tn Hj Aminuddin selaku penasihat tak banyak bicara, telah memberikan kerjasama yang amat baik.

Program bermula jam 8.00 pagi dengan sesi Taaruf dikendalikan oleh Kem komanden serta dijayakan sepenuhnya oleh Fasilitator yang dijemput khas untuk membantu. Mereka terdiri daripada Sdr Sobirin, Sdr Zulqarnain, Sdr Firdaus, Sdri Fatimah dan Sdri Ruby. Mereka merupakan pelajar IPT yang sedang bercuti. Tapi semangat untuk membantu begitu kuat dalam jiwa anak-anak muda ini, sanggup datang dari jauh. Syukran jazilan buat adik-adik sekalian..

Beberapa slot menarik seperti motivasi dan muhasabah diri yang dijalankan oleh Ust Azhari pada sebelah malamnya amat berkesan. Walaupun keadaan sistem suara kurang memuaskan, beliau tetap dapat menjalankan sesi tersebut dengan baik.

Qiamulail pula merupakan acara wajib bagi peserta sekiranya program bermalam diadakan. Sekali lagi Ust Azhari mengambil peranan dan disambung oleh ust Nik Asri selepas solat Subuh dengan bacaan Al Quran.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Tn Hj Aminuddin sebelum makan tengah hari. Aku sempat bertanyakan Sdr Nasri tentang pandangan dan komen ibubapa tentang program yang dijalankan. Kata Nasri, yang merupakan setiausaha Surau Al Islah, semua komen OK..

Kesempatan yang bermakna ini, aku titipkan ucapan setinggi kesyukuran terhadap Ilahi dan terima kasih daun keladi kepada semua sahabat-sahabat yang telah menjayakan Kem Ibadah ini. Mudah-mudahan ianya menjadi amal soleh untuk kita semua..Amin..

0 comments: