Wednesday, September 29, 2010

Mengejar Kelebihan Puasa Sunat Syawal

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Menurut Imam Al Ghazali, dalam mencapai darjat "mudah-mudahan kamu bertaqwa" yang disebut di hujung ayat kewajipan berpuasa, sekiranya tidak ditunaikan puasa enam di bulan Syawal ini, seolah-olah darjat taqwa itu tidak dapat dicapai dengan sempurna.

Ayuh, para sahabatku. Hari ini telah berlalu 20 hari di bulan Syawal 1431H. Tinggal 9 hari lagi peluang yang Allah berikan kepada kita untuk melunaskan tuntutan puasa sunat Syawal ini. Sekiranya telah dilaksanakan, Alhamdulillah. Bagi yang sedang dalam proses mencukupkan bilangan 6 hari, tahniah. Bagi yang belum bermula, masih belum terlambat. Jangan bertangguh lagi..ganjarannya amat lumayan.

Bersama kita berdoa moga-moga kita terus diberi kekuatan untuk melaksanakan perintah Allah dan Istiqamah dalam beramal, demi meraih Mardotillah. wallahua'lam.

0 comments: